25 May 2016

Dunia ini Terkadang Disalaherti

Anakku

Dunia ini terkadang disalaherti
Dek ditunda akal yang dangkal
Anjuran khayalan ia tercipta
Amukan nafsu bersandar sama
Umpama kesatuan perenggan lagaknya

Berkejaran umat manusia
Mengejar kejayaan takrifan fana
Habuan lumayan dia menanti
Rebutan tak sedar mengotori jiwa
Tiada dikesah lain terluka

Anakku

Benarkah itu jalan dituju?
Benarkah ia tujuan hidupmu?
Baloikah tikaman demi telingkah?
Sehingga nalar akal terpinggir ke sisi?

Anakku

Ya, kau juga harus berlari
Tidak diam tanpa keringat
Hukum alam jangan dilanggar
Menentang arus bukan jalannya
Harung ia bukan menghanyut

Anakku

Terkadang kau harus berhenti
Lihat juga sekelilingmu
Hati-hatilah
Dunia ini terkadang disalaherti

~ Mawardi Zakaria ~

14 January 2016

ANUGERAH ILAHI



Anak merupakan anugerah Tuhan yang tiada nilai harganya. 
Tiada galang ganti lain yang dapat menggantikan kehadiran mereka. 
Mereka sangat istimewa. 
Kehadiran mereka sentiasa membawa sinar baru di dalam sesebuah keluarga. 

Pada saat kelahiran, anak – anak akan disambut dengan penuh pengharapan dan dengan senyuman. Bahkan sewaktu laungan azan dan iqamat dibisikkan ditelinga mereka, pelbagai harapan dan impian sudahpun disandarkan di bahu mereka.

Semoga kelahiran ini akan mengubah nasib hidupku.
Semoga kelahiran ini akan menjadi aset bagiku ke syurga.
Semoga kelahiran ini akan mendoakan aku dengan doa – doa anak yang soleh.
Semoga anak yang lahir ini akan menjadi orang yang berjaya pada suatu hari nanti.

Harapan demi harapan diberikan berserta semangat baru dalam diri ibu bapa yang turut terbit bersama-sama sejak hari pertama kelahiran mereka.

Kain Putih

Fitrah kelahiran anak – anak adalah dalam keadaan yang suci dan bersih. 

Mereka diibaratkan seperti sehelai kain putih. Tiada corak, tiada warna. 

Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka menjadi corak – corak yang dibentuk. Sama ada berbentuk bulat, tiga segi, atau bujur. Anak – anak akan membesar berdasarkan didikan yang diberikan oleh kedua ibu dan bapa. Elok didikan yang disalurkan, maka eloklah sifat yang akan mereka miliki. Betul cara didikannya, maka mudahlah mereka menempuhi kehidupan di dunia ini.



Berkongsi Kegembiraan dengan Anak

Kelahiran anak – anak memang sangat – sangat menggembirakan ibu bapa. Anak – anak kita juga berhak untuk berasa gembira dengan perkara ini. Kehadiran mereka disamping kita wajar diraikan bersama – sama. 

Mengapa tidak kita membalasnya dengan menggembirakan mereka pula? Namun, bagaimana caranya?

Adakah dengan melimpahi mereka dengan kemewahan semata – mata sudah mencukupi?
Adakah wang ringgit dan harta benda yang anak – anak impikan? 
Adakah itu merupakan kegembiraan yang kekal dan abadi pada mereka? 
Adakah kehidupan yang selesa sahaja sudah mencukupi?




Memang secara realitinya, anak – anak sememangnya telah dilahirkan dalam keadaan yang berjaya. Malah, mereka juga sememangnya dilahirkan ke dunia untuk berjaya.

Kelahiran mereka ke dunia ini sudah menunjukkan bahawa mereka sudah berjaya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. 

Cuba kita renungkan proses kelahiran manusia;

سُوۡرَةُ الإنسَان

إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٍ۬ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا (٢)

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (daripada pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2)
سُوۡرَةُ المؤمنون

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬ (١٢) ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬ (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤) ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٲلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah. (12) Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. (13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah s.w.t sebaik-baik Pencipta. (14) Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. (15)


Maka, ibu bapa perlulah membantu mereka dengan sebaik mungkin dalam usaha untuk merealisasikan impian mereka iaitu untuk terus menerus menjadi orang yang berjaya.

Ayah Ibu, Bimbinglah Aku

Cuba kita perhatikan sejenak sikap anak – anak kita. Mengapa mereka akan memegang tangan kita sama ada jika ingin melintas jalan atau ketika di pasar – pasar raya? 

Sebenarnya, anak – anak merupakan golongan yang sangat – sangat memerlukan bantuan dan bimbingan serta tunjuk ajar daripada ibu bapa. Ini kerana, mereka tidak mampu melakukannya secara bersendirian dan tiada pengalaman dalam menunjukkan cara yang sebenar ke arah kejayaan. 

Oleh itu, sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membimbing mereka ke arah tersebut.


Justeru, ibu bapa perlulah membantu mereka meraih kejayaan yang sewajarnya. Mereka dicipta oleh Allah s.w.t untuk berjaya di dunia dan di akhirat. 

Jika tidak, mungkin pada suatu hari nanti kita akan ditanya mengapa tidak kita bimbing mereka untuk menjadi orang yang berjaya walhal mereka sememangnya dilahirkan untuk berjaya.

Justeru, dalam usaha untuk membantu mendidik mereka, cara dan kaedahnya perlulah betul dan sesuai. Ini dapat memudahkan mereka untuk faham dan mempraktikkan segala yang diajar. Kesabaran dan doa adalah penting dalam proses mendidik anak – anak. 

Wallahualam

p/s : Diantara doa harian yang boleh kita mula amalkan bersama-sama untuk mendidik anak:

Amalan Doa Harian
سُوۡرَةُ آل عِمرَان

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ (٨) رَبَّنَآ إِنَّكَ جَامِعُ ٱلنَّاسِ لِيَوۡمٍ۬ لَّا رَيۡبَ فِيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخۡلِفُ ٱلۡمِيعَادَ (٩)

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (8) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memungkiri janjiNya. (9)



31 October 2013

Viral Pneumonia

Assalamualaikum wbt,

Lama rasanya tak menulis dalam blog ni. Ye memang lama. Last post yang dipublish April 2012.

Banyak benda yang jadi sepanjang masa tu. Terasa rugi pula kalau tak dicatatkan.

Seperti biasa, tak ada update tentang diri ini. Yang paling disibukkan tentulah dengan anak-anak yang berdua ni. 

Oh ya. Dalam blog ni belum pernah pula rasanya  saya menulis tentang anak yang kedua ; Mahirah Aliya. Lahir pada 8 Julai 2012 dengan berat 3.65 kg secara normal. Alhamdulillah. 

Apa yang mahu dicoretkan di sini ialah mengenai si adik ni. Aliya yang pernah admitted sebanyak dua kali sebelum ini disebabkan bronchitis sekali lagi dimasukkan ke dalam ward pada minggu lepas. Kali ini disebabkan pneumonia. Dalam bahasa pasarnya disebut paru-paru berair.


Beberapa tanda yang kami dapati pada Aliya 2-3 hari sebelum berjumpa doktor. Dia demam panas 38'C, muntah-muntah yang berkahak, cirit-birit, kurang minum susu, batuk, selesema dan semput atau mengah.

Hari pertama demam masih lagi si adik dirawat di rumah dengan harapan dan jangkaan hanya demam biasa. Hari kedua dan ketiga tanda-tanda di atas mula muncul satu persatu membuatkan saya dan isteri bimbang dan terus membawanya berjumpa doktor. 

Doktor Angelina (Paeditrician Sdmc) mengesahkan Aliya menghidap pneumonia dan terpaksa menahannya di ward. Memang terasa agak ralat selepas mendapat tahu sebab mengambil tindakan yang lambat membawanya ke hospital. Mujurlah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Ia menjadi peringatan kepada diri sendiri untuk bertindak lebih pantas di masa hadapan.

Sepanjang di ward, Aliya diberikan ubat nebulizer (ventolin) 3 jam sekali serta dua antibiotik Ceftriazone dan Azythromycin. Selain ubat demam untuk menurunkan suhu badan. Tidak seperti sebelumnya, kali ini Aliya lebih bekerjasama setiap kali diberikan ubat. Si kakak pun turut sama "membantu".


Aliya dirawat selama dua hari di hospital. Dapatlah kami sekeluarga bercuti bersama-sama. Mungkin ada hikmahnya kejadian ini. Masa yang ada dapatlah dihabiskan bersama-sama dalam bilik yang bersaiz kecil itu. 

Aliya dibenarkan pulang pada hari ketiga dan perlu kembali untuk follow up pada minggu hadapan. Diharapkan agar anak abi ni sihat dan membesar serta dikurniakan kesihatan yang baik. Amin

25 April 2012

Fahami Al-Quran

Assalamualaikum w.b.t,


Cuba anda bayangkan situasi ini :

Dialog seorang paderi kristian dengan seorang muslim yang sedang membaca Al-Quran:

Paderi: Saudara, apa yang sedang kamu lakukan?
Muslim: Saya sedang membaca mukjizat Allah Yang Maha Agung, Al-Quran Nul-Karim
Paderi: Berapa lama kamu mengetahui cara membacanya?
Muslim: Sejak umur saya 10 tahun, saya sudah mula membaca Al-Quran.
Paderi: Umur kamu pada agakan saya sudah 30-an. Sudah lebih 20 tahun kamu membaca Al-Quran?
Muslim: Ya. Kami memang dilatih untuk membacanya sejak kecil lagi dan kami amat-amat mencintai Al-Quran
Paderi: Kalau begitu lama kamu membaca Al-Quran, kamu pasti sudah mengenali isi kandungannya bukan?
Muslim: ...
Paderi: Boleh kamu beritahu saya, berapa surah yang terdapat dalam Juz Amma?
Muslim:...
Paderi: Berapa pula ayat yang terkandung di dalam Surah Al-Kafirun?
Muslim:...
Paderi: Apakah sebab turunnya surah Al-Ikhlas?
Muslim:...
Paderi: Kalau begitu, kamu masih belum mengenali Al-Quran, dan saya pasti kamu juga tidak mungkin mencintai Al-Quran seperti yang kamu katakan.


Pada entri kali ini, saya ingin menarik perhatian saudara-saudari sekalian kepada kepentingan memahami Al-Quran. Jika kita berada pada situasi di atas, dapatkah kita menjawap soalan-soalan paderi yang diutarakan? Bagaimana pula jika anak-anak kita yang bertanyakan soalan-soalan itu? Tahukah kita jawapannya? =)

Mengikut statistik yang dijalankan kepada murid tingkatan 2 di Malaysia, mendapati bahawa 80% daripada mereka tidak faham makna-makna di dalam surah Al-Fatihah. Statistik ini mencerminkan betapa jahilnya kita, umat akhir zaman kerana tidak langsung mendalami Al-Quran.

Bayangkan, betapa ruginya kita sekiranya Surah Al-Fatihah yang dibaca 17 kali sehari, sebulan sebanyak 510 kali, setahun sebanyak 6205 kali di dalam solat fardu tidak difahami maksudnya! Bagaimana pula dengan surah-surah lain? Statistik ini dikhuatiri akan meningkat jika tiada usaha kita untuk mengatasinya.

Pada minggu yang lepas, seorang ustaz, Ustaz Asrulnizam bin Abas, pengasas kepada Amanina Venture telah mengadakan satu sesi latihan kepada kami, di Ibu Pejabat Bahagian Farmasi, KKM dan menerangkan kepentingan untuk umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran melalui kaedah Amanina.

Program ini sangat menarik dan juga penting kerana selama ini tanpa sedar, kita bukan sahaja tidak memahami Al-Quran, malah tiada usaha langsung untuk mengenalinya. Seolah-olah Al-Quran itu bukannya diturunkan kepada kita, tapi hanya kepada golongan-golongan agama dan ustaz-ustaz sahaja. Wallahua'lam.

Semoga kita sama-sama sedar akan perkara ini dan mengambil inisiatif sendiri ke arah memahami Al-Quran agar hidup kita sentiasa di jalan yang lurus dan diredhai Allah. InsyaAllah.

p/s: Ini link ke Program Amanina yang saya maksudkan.

http://www.amanina.com.my/


Hadith :

Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
" Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar".

Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus).

Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya."

(Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus."

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

01 March 2012

Maisarah Amani


Video anak saya, Maisarah Amani di bumi New Zealand. .
Berlari lari..jatuh..bangun..lari..jatuh..bangun..lari..jatuh..sambil gelak sepanjang pelarian..huhu..

26 February 2012

Buat..jangan tengok aje..



 Assalamualaikum w.b.t.

Maisarah seorang kanak – kanak yang suka bermain. Dia amat suka bermain layang – layang. Dia selalu meminta ayahnya membuatkannya sebuah layang – layang.   

Maisarah suka melihat bagaimana caranya membuat layang – layang. Dia lihat dengan penuh teliti cara ayah membuatnya. 

Tetapi, Maisarah tidak pernah membantu ayahnya membuat layang - layang. Baginya ayah sudah cukup mahir dan dapat menyiapkannya dengan mudah tanpa bantuan sesiapa. 

Pada suatu hari, Maisarah ingin bermain layang – layang. Tetapi, pada waktu itu ayahnya tiada dirumah. Out station kata emak. 

Mahu tidak mahu, dia terpaksa membuatnya sendiri. Dia membuat segala - galanya sama seperti mana yang selalu ayahnya lakukan. 

Maisarah cuba dan mencuba. Tetapi hasilnya, gagal! 
Layang – layangnya tidak menjadi! 

Dia merasa pelik dan hairan. Dia tidak tahu langsung bagaimana caranya membuat sebuah layang – layang!

Mengapa Maisarah tidak tahu membuat layang – layang? Sedangkan selama ini dia selalu melihat ayah menyiapkannya. 

“Apa yang kurang?” katanya didalam hati. 
Rupa – rupanya, Maisarah tersilap. Barulah dia tersedar bahawa selama ini dia hanya MELIHAT sahaja dan ayahlah yang membuat layang – layang. Bukannya dia. 

Manakan mungkin dia dapat tahu cara membuat layang – layang tanpa membuatnya sendiri. 

Sebenarnya, Maisarah tidak tahu langsung cara membuat layang – layang! Dia tidak ada pengalaman membuat layang – layang sendiri walaupun selalu melihat ayah membuatnya. 

Maisarah tidak akan mampu membuat layang – layangnya sendiri. Ini kerana, dia tiada pengalaman dan hanya melihat ayah membuat layang – layang. 

Tuan/Puan,
 
Sebenarnya, pengalaman adalah sangat penting dalam kehidupan seseorang. 

Hidup ini, sangat – sangat singkat. 

Pengalamanlah yang banyak mengajar dan membantu kita erti kehidupan dan ia penting dalam proses kematangan seseorang. 

Ia juga merupakan guru yang paling berguna dalam kehidupan kita. 

Maka, lebih banyak pengalaman, lebih matanglah kita dalam menempuh kehidupan di dunia ini.

Sekadar berkongsi. =)

Assalamualaikum w.b.t.