25 April 2012

Fahami Al-Quran

Assalamualaikum w.b.t,


Cuba anda bayangkan situasi ini :

Dialog seorang paderi kristian dengan seorang muslim yang sedang membaca Al-Quran:

Paderi: Saudara, apa yang sedang kamu lakukan?
Muslim: Saya sedang membaca mukjizat Allah Yang Maha Agung, Al-Quran Nul-Karim
Paderi: Berapa lama kamu mengetahui cara membacanya?
Muslim: Sejak umur saya 10 tahun, saya sudah mula membaca Al-Quran.
Paderi: Umur kamu pada agakan saya sudah 30-an. Sudah lebih 20 tahun kamu membaca Al-Quran?
Muslim: Ya. Kami memang dilatih untuk membacanya sejak kecil lagi dan kami amat-amat mencintai Al-Quran
Paderi: Kalau begitu lama kamu membaca Al-Quran, kamu pasti sudah mengenali isi kandungannya bukan?
Muslim: ...
Paderi: Boleh kamu beritahu saya, berapa surah yang terdapat dalam Juz Amma?
Muslim:...
Paderi: Berapa pula ayat yang terkandung di dalam Surah Al-Kafirun?
Muslim:...
Paderi: Apakah sebab turunnya surah Al-Ikhlas?
Muslim:...
Paderi: Kalau begitu, kamu masih belum mengenali Al-Quran, dan saya pasti kamu juga tidak mungkin mencintai Al-Quran seperti yang kamu katakan.


Pada entri kali ini, saya ingin menarik perhatian saudara-saudari sekalian kepada kepentingan memahami Al-Quran. Jika kita berada pada situasi di atas, dapatkah kita menjawap soalan-soalan paderi yang diutarakan? Bagaimana pula jika anak-anak kita yang bertanyakan soalan-soalan itu? Tahukah kita jawapannya? =)

Mengikut statistik yang dijalankan kepada murid tingkatan 2 di Malaysia, mendapati bahawa 80% daripada mereka tidak faham makna-makna di dalam surah Al-Fatihah. Statistik ini mencerminkan betapa jahilnya kita, umat akhir zaman kerana tidak langsung mendalami Al-Quran.

Bayangkan, betapa ruginya kita sekiranya Surah Al-Fatihah yang dibaca 17 kali sehari, sebulan sebanyak 510 kali, setahun sebanyak 6205 kali di dalam solat fardu tidak difahami maksudnya! Bagaimana pula dengan surah-surah lain? Statistik ini dikhuatiri akan meningkat jika tiada usaha kita untuk mengatasinya.

Pada minggu yang lepas, seorang ustaz, Ustaz Asrulnizam bin Abas, pengasas kepada Amanina Venture telah mengadakan satu sesi latihan kepada kami, di Ibu Pejabat Bahagian Farmasi, KKM dan menerangkan kepentingan untuk umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran melalui kaedah Amanina.

Program ini sangat menarik dan juga penting kerana selama ini tanpa sedar, kita bukan sahaja tidak memahami Al-Quran, malah tiada usaha langsung untuk mengenalinya. Seolah-olah Al-Quran itu bukannya diturunkan kepada kita, tapi hanya kepada golongan-golongan agama dan ustaz-ustaz sahaja. Wallahua'lam.

Semoga kita sama-sama sedar akan perkara ini dan mengambil inisiatif sendiri ke arah memahami Al-Quran agar hidup kita sentiasa di jalan yang lurus dan diredhai Allah. InsyaAllah.

p/s: Ini link ke Program Amanina yang saya maksudkan.

http://www.amanina.com.my/


Hadith :

Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
" Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar".

Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah; al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus).

Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya."

(Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus."

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments: