14 January 2016

ANUGERAH ILAHI



Anak merupakan anugerah Tuhan yang tiada nilai harganya. 
Tiada galang ganti lain yang dapat menggantikan kehadiran mereka. 
Mereka sangat istimewa. 
Kehadiran mereka sentiasa membawa sinar baru di dalam sesebuah keluarga. 

Pada saat kelahiran, anak – anak akan disambut dengan penuh pengharapan dan dengan senyuman. Bahkan sewaktu laungan azan dan iqamat dibisikkan ditelinga mereka, pelbagai harapan dan impian sudahpun disandarkan di bahu mereka.

Semoga kelahiran ini akan mengubah nasib hidupku.
Semoga kelahiran ini akan menjadi aset bagiku ke syurga.
Semoga kelahiran ini akan mendoakan aku dengan doa – doa anak yang soleh.
Semoga anak yang lahir ini akan menjadi orang yang berjaya pada suatu hari nanti.

Harapan demi harapan diberikan berserta semangat baru dalam diri ibu bapa yang turut terbit bersama-sama sejak hari pertama kelahiran mereka.

Kain Putih

Fitrah kelahiran anak – anak adalah dalam keadaan yang suci dan bersih. 

Mereka diibaratkan seperti sehelai kain putih. Tiada corak, tiada warna. 

Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka menjadi corak – corak yang dibentuk. Sama ada berbentuk bulat, tiga segi, atau bujur. Anak – anak akan membesar berdasarkan didikan yang diberikan oleh kedua ibu dan bapa. Elok didikan yang disalurkan, maka eloklah sifat yang akan mereka miliki. Betul cara didikannya, maka mudahlah mereka menempuhi kehidupan di dunia ini.



Berkongsi Kegembiraan dengan Anak

Kelahiran anak – anak memang sangat – sangat menggembirakan ibu bapa. Anak – anak kita juga berhak untuk berasa gembira dengan perkara ini. Kehadiran mereka disamping kita wajar diraikan bersama – sama. 

Mengapa tidak kita membalasnya dengan menggembirakan mereka pula? Namun, bagaimana caranya?

Adakah dengan melimpahi mereka dengan kemewahan semata – mata sudah mencukupi?
Adakah wang ringgit dan harta benda yang anak – anak impikan? 
Adakah itu merupakan kegembiraan yang kekal dan abadi pada mereka? 
Adakah kehidupan yang selesa sahaja sudah mencukupi?




Memang secara realitinya, anak – anak sememangnya telah dilahirkan dalam keadaan yang berjaya. Malah, mereka juga sememangnya dilahirkan ke dunia untuk berjaya.

Kelahiran mereka ke dunia ini sudah menunjukkan bahawa mereka sudah berjaya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. 

Cuba kita renungkan proses kelahiran manusia;

سُوۡرَةُ الإنسَان

إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٍ۬ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَـٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا (٢)

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (daripada pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (2)
سُوۡرَةُ المؤمنون

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن طِينٍ۬ (١٢) ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةً۬ فِى قَرَارٍ۬ مَّكِينٍ۬ (١٣) ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً۬ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمً۬ا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمً۬ا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَ‌ۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِينَ (١٤) ثُمَّ إِنَّكُم بَعۡدَ ذَٲلِكَ لَمَيِّتُونَ (١٥)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah. (12) Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. (13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah s.w.t sebaik-baik Pencipta. (14) Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. (15)


Maka, ibu bapa perlulah membantu mereka dengan sebaik mungkin dalam usaha untuk merealisasikan impian mereka iaitu untuk terus menerus menjadi orang yang berjaya.

Ayah Ibu, Bimbinglah Aku

Cuba kita perhatikan sejenak sikap anak – anak kita. Mengapa mereka akan memegang tangan kita sama ada jika ingin melintas jalan atau ketika di pasar – pasar raya? 

Sebenarnya, anak – anak merupakan golongan yang sangat – sangat memerlukan bantuan dan bimbingan serta tunjuk ajar daripada ibu bapa. Ini kerana, mereka tidak mampu melakukannya secara bersendirian dan tiada pengalaman dalam menunjukkan cara yang sebenar ke arah kejayaan. 

Oleh itu, sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membimbing mereka ke arah tersebut.


Justeru, ibu bapa perlulah membantu mereka meraih kejayaan yang sewajarnya. Mereka dicipta oleh Allah s.w.t untuk berjaya di dunia dan di akhirat. 

Jika tidak, mungkin pada suatu hari nanti kita akan ditanya mengapa tidak kita bimbing mereka untuk menjadi orang yang berjaya walhal mereka sememangnya dilahirkan untuk berjaya.

Justeru, dalam usaha untuk membantu mendidik mereka, cara dan kaedahnya perlulah betul dan sesuai. Ini dapat memudahkan mereka untuk faham dan mempraktikkan segala yang diajar. Kesabaran dan doa adalah penting dalam proses mendidik anak – anak. 

Wallahualam

p/s : Diantara doa harian yang boleh kita mula amalkan bersama-sama untuk mendidik anak:

Amalan Doa Harian
سُوۡرَةُ آل عِمرَان

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ (٨) رَبَّنَآ إِنَّكَ جَامِعُ ٱلنَّاسِ لِيَوۡمٍ۬ لَّا رَيۡبَ فِيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخۡلِفُ ٱلۡمِيعَادَ (٩)

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (8) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak memungkiri janjiNya. (9)



No comments: