29 March 2011

Walaupun sedikit..

Pasti kita pernah mendengar Kisah Nabi Ibrahim a.s dibakar oleh kaumnya. Pada masa itu, Nabi Ibrahim a.s dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup kerana memecahkan ‘Tuhan’ kaumnya. Namun, dengan izin Allah, Nabi Ibrahim a.s terselamat daripada terbakar. Maha Suci Allah.

Apa yang menarik dalam kisah ini ialah kisah bagaimana seekor burung yang ingin menyelamatkan Baginda. Dengan keupayaan yang ada, dia cuba hendak menyelamatkan nabi Allah itu. Berulang alik dia mengambil air di dalam paruhnya. Lalu dicurahkan ke atas unggun api tersebut. Dilakukannya berulang kali dengan harapan, dia dapat membantu Nabi Ibrahim a.s yang berada di dalam kesusahan. “Ini tanggungjawapku” katanya di dalam hati. 

Berbanding burung – burung yang lain, dia teruskan sahaja tindakannya. Walaupun ternyata, perbuatannya hanya sia – sia. Api yang marak tidak akan dapat terpadam. Namun dia tetap berusaha sedaya upayanya tanpa mengenal penat dan lelah. Tubuhnya yang kecil, bukan alasan baginya.

Mengikut fitrah dan logik akal yang waras, bagaimana mungkin api besar yang sedang marak itu akan terkesan dengan tindakan burung sekecil itu? Mana mungkin kawasan api yang besar mampu dipadamkan dengan air yang amat sedikit? Bahkan bagaimana mungkin burung itu terfikir untuk meneruskan usahanya yang pastinya sia-sia sahaja? Tindakannya bak kata pepatah, “Seperti pancing tiada berumpan” dan “bagai anjing menyalak bukit”.

Banyak pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah ini. Burung kecil itu bukan sahaja berjaya menunaikan tanggungjawapnya, malah dapat mengajar manusia bahawa kekurangan bukan alasan untuk tidak memberi sumbangan. Ramai antara kita pada zaman ini tidak sedar bahawa sumbangan yang diberikan walaupun kecil, adalah besar maknanya. Bukan ukuran sumbangan yang dinilai, tetapi usaha dan rasa bertanggungjawab yang menjadi perkara pokok. 

Jika kita renung dan soal kembali diri kita, seringkali kita bertanya, apa sumbangan negara kepada kita? Kecap kali juga kita bertanya, apa sumbangan kerajaan kepada kita? Walhal, soalan yang lebih penting adalah apakah sumbangan kita kepada negara? Fikirkan..

Jadilah seperti sang burung tadi. Dia tetap mahu berusaha memberikan sumbangannya meskipun tahu usahanya sangat kecil. Apa yang penting sekali ialah usaha bukannya hasil. Kerana segala usaha pasti akan membuahkan hasil berbanding jika kita hanya mengeluh atas kekurangan diri sendiri. Jika burung sekecil itu mampu memahami konsep sebenar tanggungjawab dan besarnya erti berusaha, apa lagi alasan kita untuk tidak menyumbang? Apa lagi alasan kita untuk hanya berdiam diri? Dan, apa lagi alasan kita untuk terus mengeluh? Ingatlah, “yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Jadi, berusahalah untuk memberi sumbangan, walaupun sedikit.. 

Wallahua’lam.

2 comments:

Taufik Abdullah said...

Dahsyat papa sorang ni Alhamdulillah. Selamat menulis bro.

Mawardi said...

Haha..Tq Taufik!