05 July 2011

Nikmat Datang Sekali-Sekala, Syukur Mesti Selalu

Assalamualaikum w.b.t.


Ingin saya berkongsi dengan kalian satu cerita. Cerita mengenai perkara yang sering kali kita lupa, iaitu bersyukur. Semoga dapat kita sama-sama mengambil iktibar daripada cerita ini.

Cerita ini berkisar mengenai sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah rumah. Mereka ini sangat baik orangnya. Suka bersedekah dan suka membantu orang yang didalam kesusahan. Si suami bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat manakala si isteri pula seorang suri rumah tangga.

Si isteri merupakan seorang yang sangat perfectionist. Dia sangat teliti dalam semua perkara, terutamanya kekemasan dan kebersihan rumahnya. Susun atur perabot, warna tema dinding, walhal, kedudukan langsir juga amat dititik beratkan oleh si isteri.

Pasangan ini hidup bahagia. Tetapi mereka masih lagi belum dikurniakan cahaya mata walaupun usia perkahwinan mereka sudah menjangkau enam tahun.  Pelbagai usaha telah  mereka lakukan. Doa mereka juga tidak putus-putus kepada Ilahi. Namun mereka masih lagi belum diberi rezeki yang diharap-harapkan.

Sehinggalah satu ketika, si isteri disahkan mengandung. Tersangat gembiralah mereka berdua di atas berita ini. Disahkan pula, anak didalam kandungannya lelaki. Persiapan demi persiapan dijalankan utuk menyambut kelahiran anak pertama mereka yang ditunggu-tunggu untuk sekian lama.

Dipendekkan cerita, tibalah saat kelahiran putera sulung mereka. Alhamdulillah, anak yang dilahirkan sangat comel dan sihat. Bergembira dan bersyukurlah pasangan suami isteri ini dengan kehadiran orang baru didalam keluarga mereka. Mereka menjaga anak ini bagai menatang minyak yang penuh.

Tiga tahun kemudian, anak lelaki mereka telah membesar dengan sihat. Seperti kanak-kanak lain, dia sangat suka bermain. Namun, ada satu tabiatnya yang tidak disukai oleh si ibu, anaknya suka mengoyak-ngoyakkan kertas. Yang paling disukainya, mengoyakkan kertas surat khabar. Sehingga bertimbun kertas-kertas di koyakkannya. Tabiat ini menyebabkan rumah yang tadinya bersih dan kemas, menjadi tidak teratur dan berselerak.

Si ibu yang sangat pembersih ini tidak selesa dengan perbuatan anaknya itu. Sering kali dia memarahi dan menegur anaknya. Rumahnya yang kemas dan bersih sebelum ini tidak lagi dapat diuruskan dengan baik. Hampir tidak sabar si ibu dengan perangai anaknya yang seorang itu.

Sering kali dia memarahi anaknya kerana mengoyakkan kertas. Dan setiap kali juga, si anak berjanji yang dia takkan mengoyakkan kertas lagi dan tidak akan menyelerakkan rumah lagi.

Pada suatu hari, seorang rakan lama si ibu bercadang untuk datang ke rumah. Si ibu dengan segera mengemaskan rumahnya yang berselerak. Di bersihkan ruang tamu, dapur, meja makan dan lain lain. Sedang si ibu sibuk mengemas, alangkah terkejutnya dia apabila melihat ruang tamunya kembali berselerak dengan koyakan kertas. Dilihat anaknya tadi sedang leka bermain-main dan mengoyakkan kertas di ruang tamu.

Dengan perasaan yang amat marah, menjerit si ibu sekuat hati. Terkejut si anak. Lantas dia bangun dan berlari untuk menyelamatkan diri. Si ibu mengejar. Dengan tidak disedari, si anak berlari ke pintu pagar. Melintasi jalan di hadapan rumahnya....Pang!!!

Terhenti si ibu seketika. Kaget dia. Ya Allah!!Anakku!!! Sebuah kereta dengan tidak sengaja melanggar anaknya. Bergegas si ibu menghampiri anaknya yang sudah terbaring di atas jalan. Darah mengalir tidak henti-henti dari dahi si anak. Dengan segera, dipapah tubuh anaknya yang longlai berlumuran darah ke dalam kereta. Dia bergegas ke hospital.

Sambil memandu, dia memangku anaknya diriba. Keretanya dipecut selaju yang mungkin. Perasaan amarahnya tadi bertukar menjadi penyesalan. Dalam hatinya tidak henti-henti berdoa "Ya Allah, aku bukanlah ibu yang baik. Tapi Kau selamatkanlah anakku ini Ya Allah. KepadaMu sahaja tempat aku bermohon Ya Allah!!". Air mata jatuh mencurah-curah di pipinya.

Setibanya di hospital, si anak dibawa masuk ke Bilik Kecemasan. Dia diberikan rawatan kecemasan. Tanpa henti-henti berdoa, si ibu menanti anaknya di luar pintu. Seribu penyesalan dihatinya. Hanya doa yang tidak putus-putus yang dapat dilakukan mengharapkan agar anaknya selamat.

Tidak lama selepas itu, doktor keluar dari bilik tersebut. Terpancar sinar dari mata si ibu. "Doktor, macam mana anak saya?"

Dengan perlahan doktor menjawab, "Minta maaf puan, anak puan tak dapat diselamatkan. Tuhan lebih menyayanginya. Banyakkan bersabar."

Terduduk si ibu tidak berdaya. Tanpa disedari, air matanya mencurah-curah. "Ya Allah, ujian apakah ini?" Dia masih tidak dapat menerima pemergian anak yang dikasihinya selama ini. Anaknya telah pergi untuk selama-lamanya. Dapat dia melihat dari jauh mayat anaknya yang terbaring kaku.

Pada petang itu, mayat anaknya di uruskan dan disemadikan dengan sempurna. Hati ibu mana yang dapat menahan sebak kehilangan anak yang tersayang. Anaknya dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan dengan rumahnya.

Selepas selesai, dia pulang ke rumah dengan hati yang sangat sedih. Pada malam itu, dia mengajak suaminya ke hadapan rumah. Digodek-godeknya tong sampah mencari sesuatu. Rupa-rupanya, dia mencari kertas-kertas yang telah dikoyak-koyakkan arwah anaknya. Ditaburkan kembali kertas-kertas itu ke dalam ruang tamu. Kini, baru dia sedar, rupa-rupanya selama ini kertas-kertas yang berselerak ini yang membahagiakannya. Kertas-kertas ini yang menceriakan hari-harinya. Kertas-kertas ini yang menghiburkannya setiap hari.

Namun kini segalanya sudah terlambat. Tidak akan ada lagi kelibat anaknya. Tidak akan ada lagi celoteh comel anaknya. Baru dia tersedar, Nikmat itu hanya akan datang sekali-sekala. Tapi dia sering kali terlupa untuk bersyukur atas nikmat itu setiap hari.

Wallahua'lam.

(Di kupas daripada Sesi Motivasi Pagi, Ustaz Badrul Razi)

1 comment:

zakaria mat said...

S. LUQMAN AYAT 27 BERMAKSUD
Dan seandai nye pohon-pohon dibumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta),di tambah kepada nye tujuh laut(lagi) sesudah kering nye,nescaya tidak akan habis-habis (dituliskan) kalimat ALLAH .Sesungguhnye ALLAH maha perkasa lagi maha bijaksana.

Didalam kehidupan seharian ,kita tidak perasan bahawa segala diatas bumi ALLAH ini sebenarnye nikmat dari ALLAH swt.Kita dongak keatas akan kelihatan matahari,langit,bulan dan bintang semua itu terjadi dan tercipta mempunyai fungsi masing masing.Di darat binatang ternakan,tumbuh-tumbuhan,pokok-pokok buahan,gunung-gunung sungai-sungai serta lautan yang luas segala nye tercipta dan didalam pertadbiran ALLAH RABBULALAMIN.Segala nye adalah nikmat ALLAH dan merupakan unsur unsur yang penting dalam kelangsungan penghidupan manusia.
Seperti mana Firman nye dalam surah Lugman ayat 20 bermaksud,
Tidak kah kamu perhatikan sesungguh nye ALLAH telah menundukkan untuk (kepentingan) mu apa yang dilangit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untuk mu nikmat nye lahir dan batin.
Walaupun demikian banyak nikmat ALLAH, namun nikmat yang paling agung adalah apabila lengkap nye IsLam yang di bawa Rasulullah.
S.Al Maidah ayat3 bermaksud
Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat ku kepada kamu dan aku telah redhai Agama Islam itu menjadi agama kamu.
Ayat diatas mejelaskan bahawa segala nikmat ALLAH dimuka bumi ini tidak lengkap atau tergantung gantung fungsinye sehinggalah turun nye Islam secara syumul melengkapi segala kekurangan.
Maka jelas lah sudah bahawa segala yang dibumi ALLAH ini adalah merupakan nikmat ALLAH dan ia sentiasa disisi manusia, ia tidak datang sesekali.Terputus nye nikmat Allah pada manusia mengakibat huru hara serta malapetaka yang amat dasyat. (bersambung)